Monday, December 5, 2011

Motivasi Minda | Bertanggungjawab Ke Atas Kejayaan Diri Sendiri

Saya teringat kata-kata seorang pakar motivasi yang menyarankan agar kita semua jangan jadi macam “bangau oh bangau”. Jika kita ingin memupuk motivasi positif dalam diri kita, hindari diri dari menyanyikan lagu “Bangau Oh Bangau”. Begitulah lebih kurang kalau tak silap.
Saya terfikir, apakah lagu “Bangau oh bangau” tu tak baik untuk motivasi diri, tak baik untuk minda kita, tak baik untuk motivasi anak-anak. Kalau tak baik, mengapa orang dulu-dulu menggubah lagu itu? Atau ada makna atau pesanan yang tersirat dalam liriknya?
Bangau oh bangau, mengapa engkau kurus?
Macam mana aku tak kurus, ikan tidak timbul…..
Bangau? Bangau menyalahkan ikan di atas kegagalannya – tidak bagus.
Ikan? Pun sama, menyalahkan rumput.
Rumput, kerbau, perut, nasi, kayu api, hujan, dan katak pun serupa juga. Menyalahkan orang lain di atas kegagalan diri.
Adakah diriku sama? Dalam tak sedar menyalahkan orang lain, menyalahkan keadaan, keluarga dan sebagainya di atas kegagalan mencapai matlamat yang ditetapkan. Selalu juga, dalam hati, saya menyalahkan staf bila program yang dirancang tidak mencapai hasil seperti yang diharapkan. Saya menyalahkan mereka kerana tidak member komitmen dan sebagainya. Sepatutnya saya perlu buat analisa apa yang menyebabkan hasil tidak dicapai. Apakah perkara yang tidak berjalan dengan lancar, apa yang berjalan dengan lancar. Jika tidak lancar, di mana kekurangan. Jika lancar, di mana kami lakukan dengan baik. Dari situ dapat diperbaiki kelemahan dan ditambahbaik lagi apa yang sudah baik. Saya juga tidak mengambil tanggungjawab ke atas “kegagalan” mencapai hasil. Hati berkata, “Kalau staf dah tak nak beri komitmen, nak buat macam mana?” Sekiranya saya mengambil tanggungjawab di atas “kegagalan” tersebut, tindakan susulan saya tentu akan berbeza – lebih bersifat positif jika dibanding dengan menyalah staf di atas “kegagalan”.
Bagi saya lagu “Bangau oh Bangau” tu ada juga baiknya. Jangan ikut kumpulan yang 90%, ikut yang 10% iaitu ular. Menyalahkan orang lain terhenti pabila sampai giliran ular. Ular berkata, “memang makanan aku”. Ular mengambil tanggungjawab atas apa yang dilakukannya dan bersedia menerima akibatnya – sama ada baik atau buruk.
Mungkin inilah mesej yang ingin disampaikan orang dulu-dulu. Kita mesti mengambil tanggungjawab atas apa-apa hasil dari kerja kita atau pasukan kita, bukan menyalahkan orang atau benda lain.


Dipetik dari: Motivasi Minda | Bertanggungjawab Ke Atas Kejayaan Diri Sendiri

p/s: Jom dengar adik ni menyanyi.. sedap sungguh suaranya!  Ingat ye, kita yang bertanggungjawab ke atas kejayaan kita ok! =)


No comments:

Post a Comment